Wednesday, February 9, 2011

Dua remaja maut catat kes kematian pertama



TEMERLOH – Dua remaja maut selepas motosikal yang ditunggang masing-masing bergesel sesama sendiri dalam kemalangan di Jalan Kuala Krau-Jengka dekat Kampung Rumpun Makmur jam 10.30 malam kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh Asisten Superintenden Mohd Hamzah berkata, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dari arah Jengka ke Kuala Krau bergesel setiba di tempat kejadian.

Menurutnya, akibat pergeseran kedua-dua motosikal, mangsa tercampak di atas jalan raya dan mengalami cedera parah pada kaki dan kepala.

“Mangsa dikenali Muhammad Huzairy Aksah 18, dari Kampung Gunung Senyum dan Mohd Dyzul Hanizam Zakaria 19 berasal dari Felda Jengka 1, Maran.

“Muhammad Huzairy mati di hospital manakala Mohd Dyzul Hanizam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya semalam.

Mohd berkata, ia kes kemalangan maut pertama di Temerloh sepanjang Ops Sikap diadakan.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 697 saman dikeluarkan membabitkan 78 kes kemalangan.

Menurutnya, beliau menasihatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya supaya mengekalkan pemanduan berhati-hati bukan sahaja semasa Ops Sikap diadakan.

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa jika kita tidak berwaspada,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment